KISAH ADAT BASUH KAKI
Pada masa dahulu, di Daerah Tutong terdapat seorang pembesar yang bernama Bendari Badar. Beliau berumah di seberang Panchor. Semasa anaknya berkahwin, Bendari Badar membuat jambatan dari seberang hingga ke Panchor Papan. Selepas tiga hari perkahwinan, anaknya pergi mandi di Panchor. Ketika itu suasana menjadi seram dengan hujan renyai-renyai serta guruh dan burung layang-layang berterbangan. Tiba-tiba anak Bendari Badar hilang dan ramai orang mencarinya tetapi tiada yang dapat menemukannya. Mereka hanya terlihat bekas tapak kaki harimau. Harimau tersebut membuat lubang tempat bersarang.
Ada seorang lelaki bernama Kadar diarahkan untuk membunuh harimau tersebut dan dia menyanggupinya asalkan Bendari Badar menyediakan senjata. Senjata yang dipilih oleh Kadar ialah Keris Alok Tiga. Kemudian Kadar pun pergi dengan membawa tujuh ekor anjing ke tempat lubang harimau. Setelah sampai, Kadar pun memberi daging kepada anjing-anjing tersebut. Ini menyebabkan keadaan luar kediaman itu bising. Harimau itu pun keluar dari sarangnya, lantas Kadar pun membunuh harimau itu dengan bantuan anjing-anjingnya. Selepas kematian harimau itu, Kadar pun masuk ke dalam lubang sarang harimau itu dan mendapati anak Bendari Badar sudah meninggal dunia. Badannya ditumbuhi bulu-bulu harimau.
Berikutan kisah tersebut, maka Bendari Badar menyuruh supaya pengantin tidak dibenarkan keluar rumah selama 40 hari. Bagi menampung perbelanjaan sehari-hari kedua pengantin, maka diadakan adat basuh kaki dalam majlis perkahwinan. Pada masa dahulu, barang atau hadiah diberikan semasa adat basuh kaki ialah seperti pinggan, mangkuk, pokok kelapa, pokok rumbia, kerbau dan sebagainya. Pada masa ini, hadiah tersebut digantikan dengan wang.

No comments:
Post a Comment