ADAT BASUH BATIS (KAKI) PUAK TUTONG
Di dalam adat perkahwinan Puak Tutong terdapat satu upacara yang masih lagi diamalkan sehingga ke hari ini. Adat ini dikenali sebagai 'Basuh Batis'. Adat tersebut diadakan di dalam majlis perkahwinan yang melibatkan Puak Tutong sahaja ataupun pihak pengantin perempuan dari Puak Tutong. Majlis ini diadakan di Daerah Tutong.
Adat Basuh Batis ini lazimnya diadakan selepas acara bersanding. Menurut kepercayaan sebilangan masyakarat, kedua-dua pengantin baru adalah berdarah 'manis' dan amat digemari oleh makhluk ghaib yang menyebabkan pengantin baru sering ditimpa kecelakaan dan kemalangan. Pengantin baru dilarang keluar rumah selama 40 hari dan untuk menampung keperluan dapur mereka semasa tempoh tersebut, keluarga pengantin akan menghadiahkan pelbagai jenis barang keperluan harian kepada mereka. Ini dilakukan dalam suatu adat yang dipanggil Adat Basuh Batis.
Kedua-dua pengantin diaturkan duduk bersanding di atas kerusi d tempat yang telah dikhaskan di luar rumah. Sebilah parang akan diletakkan di atas tanah di tengah-tengah antara kaki pengantin lelaki dan perempuan. Sebuah batu pengasah diletakkan pula pada parang tadi. Pengantin perempuan meletakkan kaki kanannya di atas batu pengasah. Sementara pengantin lelaki pula meletakkan kaki kanannya di atas kaki kanan pengantin perempuan. Kemudian saudara mara pengantin yang hendak memberikan hadiah bergilir-gilir tampil untuk menyiramkan air ke kaki kanan kedua pengantin yang masih berada di atas batu pengasah. Lazimnya adat ini dimulakan oleh ibu bapa pengantin. Selepas menyiramkan air ke kaki pengantin itu, mereka akan bersalaman dengan pengantin sambil menghulurkan hadiah mereka sama ada berbentuk wang atau barang-barang dapur. Pada masa dahulu, antara hadiahnya ialah kerbau, beras padi, bbinatang ternakan dan wang ringgit.
RUJUKAN:
Buku teks MIB menengah IV





