BENDERA NEGARA
Mengikut Kamus Dewan, bendera bermaksud sepotong kain (biasanya segi empat bujur) yang ada rekabentuk tertentu, yang digunakan sebagai lambang sesebuah negara atau sebagai isyarat. Pada dasarnya bendera ialah perutusan daripada seseorang, sekumpulan orang atau negara. Perutusan yang disampaikan ini mengandungi berbagai-bagai maklumat seperti perlindungan, cabaran, naungan, ketaatsetiaan, kegemilangan, kemegahan, kehormatan, ancaman dan pengharapan.
Panji-panji pula ialah tanda, lambang atau simbol yang dijadikan sebagai pengisi bendera. Panji-panji adalah lebih khusus yang menyatakan identiti seseorang, sesuatu kumpulan, pertubuhan atau sesebuah negara mudah dikenali.
Bendera kebangsaan dan panji-panji bagi Negara Brunei Darussalam ialah perutusan mengenai identiti kedaulatannya sebagai sebuah negara merdeka berdaulat yang mempunyai kebudayaaan dan adat istiadatnya tersendiri.
Sebelum tahun 1906, Brunei tidak mempunyai bendera kebangsaan yang tertentu. Ketika itu yang ada hanyaah bendera-bendera peribadi pembesar seperti sultan dan wazir. Dengan termaktubnya Perjanjian Brunei dan Great Britain tahun 1906 wujudlah kepentingan bagi Negara Brunei Darussalam mempunyai satu bendera kebangsaannya sendiri. Dengan itu beberapa cadangan mengenai warna bentuknya dihadapkan, dan akhirnya bentuk yang mengandungi warna kuning (warna sultan), warna putih (warna Pengiran Bendahara), dan warna hitam (warna Pengiran Pemancha) telah dipersetujui. Warna-warna ini dipilih sebagai simbol penglibatan ketiga-tiga tokoh utama Brunei dewasa itu dalam menandatangani Perjanjian tahun 1906. Pada masa itu Pengiran Di-Gadong (warna benderanya hijau) dan Pengiran Temenggong (warna benderanya merah) masih belum diisikan selepas kemangkatan penyandang-penyandangnya.
Bendera kebangsaan Brunei yang dipersetujui dalam tahun 1906 itu terus digunakan sehingga tahun 1959. Selepas pemasyhuran Perlembagaan Negeri Brunei pada 29 September 1959, bendera kebangsaan Brunei itu telah diisikan dengan lambang kerajaan atau panji-panji negara yang berwarna merah. Lambang ini mempunyai 5 perkara:
· Tunggul Bercabang (bendera alam besar) dan Payung Obor-obor yang menjadi lambang kebesaran diraja Brunei.
· Tiang panji-panji yang menjadi lambang pendirian kerajaan yang teguh dan lurus.
· Bulan sabit yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi Negara Brunei. Bulan sabit ini mengandungi cogan kata negara yang ditulis dalam Bahasa Arab yang terjemahannya “Sentiasa Membuat Kebajikaan Dengan Petunjuk Allah”.
· Dua tangan (kimhap) satu diasebelah kanan dan satu di sebelah kiri bulan sabit. Tangan ini sebagai lambang memohon doa dan jaminan kerajaan terhadap kebajikan, keamanan dan kemakmuran negara.
· Pita yang mengandungi perkataan Brunei Darussalam (Brunei negeri sejahtera) dalam tulisan jawi, terletak di bawah bulan sabit.
Panji-panji negara juga dimuatkan dalam bendera pembesar negara kita yang lain seperti bendera anak sultan bukan gahara, pengiran peranakan berteras, cheteria, pengiran peranakan, pehin manteri, manteri hulubalang dan manteri pendalaman. Selain daripada itu, panji-panji negara juga diletakkan di kepala surat rasmi kerajaan an pada benda-benda yang patut digunakan menurut kuatkuasa Undang-undang Lambang-lambang dan Nama-nama (Pencegahan Penggunaan Yang Salah No.20/1967).
Selepas pengiktirafan ke atas bendera kebangsaan ini, bendera-bendera yang sedia terpakai sebelum ini masih terus digunakan dan dikibarkan pada hari-hari kebesaran negara atau pada hari majlis beradat istiadat negara. Gunanya ialah untuk mengetahui pangkat seseorang yang empunya bendera itu. Selepas tahun 1959 bilangan bendera itu telah dikurangkan, hanya orang-orang perseorangan yang telah dibenarkan oleh sultan sahaja yang boleh mengibarkan bendera masing-masing. Bendera orang-orang perseorangan lain telah ditiadakan. Orang-orang ini sekarang mengibarkan bendera kebangsaan pada hari-hari beradat istiadat dan hari-hari kebesaran negara iaitu sama seperti yang dilakukan di pejabat-pejabat kerajaan.
RUJUKAN:
MIB Menengah 4

aku shawn
ReplyDeleteAskar
ReplyDeletePolis
Bomba